Bermulanya Penempatan di Seremban
Sumber di petik dari laman web MPS, http://www.mpsns.gov.my/
Bandar Seremban muncul sepertimana bandar-bandar lain di negara ini iaitu disekitar tahun 1870-an dan dipercayai bermula apabila kawasan disekitar Rasah didapati kaya dengan hasil bumi iaitu bijih timah.
Apabila ianya mengalami kemasukan penduduk (migrasi) yang pesat terdiri dari orang-orang Cina, Arab dan juga bangsa Melayu dari tempat lain. Seremban bukan sahaja menjadi pusat melombong bijih timah tetapi juga pusat perdagangan. Peniaga-peniaga pada masa itu menggunakan Sungai Linggi sebagai laluan pengangkutan perdagangan mereka manakala penduduk Melayu tempatan dikawasan ini kebanyakannya adalah petani.
Asal Usul Seremban
Berikutan dari peristiwa diatas, maka muncul deretan kedai di sepanjang Jalan Murray (Jalan Kapitan Tam Yeong), Jalan Pasar dan jalan-jalan utama seperti di Jalan Paul (Jalan Yam Tuan) dan Jalan Birch (Jalan Dato` Bandar Tunggal) yang mana semua nama-nama jalan ini mengambil sempena nama Residen-Residen British ketika itu. Seremban yang awalnya dikenali sebagai Sungai Ujong dipercayai mendapat namanya dari permainan tradisional " Sarimban " yakni sejenis permainan yang menggunakan batu-batu kecil dan amat diminati oleh kaum Cina untuk dimainkan dimasa lapang berhampiran dengan Stesen Keretapi Seremban.
Apabila Negeri Sembilan telah menjadi anggota Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896, Seremban dengan sendirinya menjadi pusat pentadbiran, perdagangan dan pertanian bagi Negeri Sembilan. Seremban dianggarkan pada waktu itu (1916) memiliki penduduk seramai 20,000 orang dimana deretan bangunan kedai telahpun mula dibina disepanjang Jalan Paul, Jalan Birch, Jalan Cameron (Jalan Dato` Lee Fong Yee) dan Jalan Setul (Jalan Tun Dr. Ismail).
Pihak penjajah Inggeris mengambil kesempatan untuk mula campurtangan diatas pergolakan peperangan yang berpunca dari perebutan hak dan kawasan perlombongan bijih timah diantara Dato' Kelana dan Dato` Shahbandar. Ini telah memberi ruang kepada Inggeris menempatkan kuasa dengan melantik Residen pertamanya Kapten Murray dimana residensinya didirikan di Jalan Channer (Jalan Dato`Siamang Gagap). Bermula dari detik itu penduduk-penduduk Rasah mendirikan penempatan mereka di sekitar Jalan Channer kerana mereka merasakan tinggal dikawasan yang mempunyai undang-undang dan peraturan Inggeris selamat dan meyakinkan.
Era Kesihatan
Sebelum zaman pendudukan Jepun, peranan Unit Penguasa Tempatan Seremban (dikenali sebagai Lembaga Kesihatan - (1897) terletak dibawah pentadbiran Residen yang ditubuhkan melalui Warta Kerajaan No. 285 bertarikh 15hb. September 1899) masih lagi terhad kepada menyediakan keperluan asas sahaja.
Namun selepas Perang Dunia Ke-II, pembangunan bandar Seremban begitu pesat dimana perubahan demi perubahan yang berlaku memaksa Lembaga Kesihatan yang terhad aktivitinya diubah menjadi sebuah Lembaga Bandaran melalui Warta Kerajaan No. 143 bertarikh 12hb. Januari 1946 sehingga 1953 apabila ianya dinaikkan taraf kepada Majlis Bandaran Seremban. Pengerusi Lembaga Bandaran Seremban selepas perang ialah seorang pegawai Inggeris, LHN Davis manakala Pegawai Daerah Seremban merangkap Setiausaha Lembaga Bandaran ialah YM Raja Azman Bin Raja Sir Chulan.

